
Abdullah bersalam dengan penduduk ketika menghadiri majlis
pemimpin bersama rakyat di Dewan Sekolah Menengah Sook,
Keningau, semalam.
KOTA KINABALU, Ahad – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, kerajaan
tidak pernah menggunakan kes serangan 11 September ke atas Amerika Syarikat,
sebagai alasan untuk melakukan penangkapan mengikut Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA).
Timbalan Perdana Menteri berkata, semua tindakan yang diambil kerajaan
bertujuan menjaga keamanan dan kestabilan di negara ini.
“Kita mengambil tindakan yang difikirkan perlu. Kita tidak didorong dengan
apa yang berlaku di luar negara dan kita tidak berpandu kepada apa-apa arahan
daripada luar negara.
“Kita juga tidak berpandu kepada sebarang model atau kes di negara luar (dalam
mengambil tindakan undang-undang),” katanya menjawab soalan pemberita
selepas menghadiri jamuan bersama Badan Perhubungan Umno Sabah di Hotel
Pacific Sutera, di sini hari ini.
Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri diminta mengulas dakwaan DAP bahawa
kerajaan mengeksploitasi kejadian serangan 11 September ke atas Amerika
sebagai alasan penahanan beberapa pemimpin pembangkang.
Semalam, polis menahan 48 orang, kebanyakannya ahli parti pembangkang kerana
menyertai perhimpunan haram di Medan Kamunting, Taiping.
Perhimpunan haram itu dipercayai diadakan bagi mengiringi kumpulan Gerakan
Mansuhkan ISA (GMI) yang mahu menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa Kem
Tahanan Kamunting.
Abdullah yang mengakhiri lawatan dua hari ke Sabah berkata, tindakan tegas
yang dilakukan kerajaan adalah berdasarkan hakikat ia wajar untuk kebaikan
semua.
Sambil mengakui rakyat Malaysia cintakan keamanan dan kestabilan, beliau
berkata kerajaan tidak bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang boleh
menggugat keamanan dan kestabilan di negara ini.
“Justeru, jika ada sebarang tindakan yang boleh mencetuskan
ketidaktenteraman, kerajaan perlu menanganinya secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan penahanan mengikut ISA yang dilakukan kerajaan tiada
kaitan dengan apa yang berlaku di luar negara kebelakangan ini, malah ISA
sudah digunakan sejak dulu lagi.
Ditanya komennya mengenai kejadian di Kamunting, Abdullah menjawab: “Komen
saya adalah seperti yang sudah dapat dilihat menerusi tindakan.”